KUCHING, 7 Feb: Penjawat awam perlu terus berusaha untuk meningkatkan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatan mereka, kata Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Setiausaha Kerajaan Sarawak itu berkata, kumpulan berkenaan juga harus memastikan sentiasa relevan dalam setiap aspek tanpa mengambil kira persekitaran operasi yang mereka hadapi.
Kata beliau, ini kerana dunia semakin cepat berkembang terutamanya dengan kemunculan teknologi digital dan maklumat tersedia kepada semua orang.
“Dengan segala kemudahan ini, orang awam boleh menikmati kualiti hidup serta mencari kesejahteraan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Sementara itu, Mohamad Abu Bakar turut mengingatkan bahawa penjawat awam merupakan pelaksana dasar kerajaan dan juga sebagai jentera yang bertanggungjawab dalam menyampaikan perkhidmatan.
“Justeru mereka perlu menyesuaikan diri dengan trend serta perubahan semasa bagi memenuhi keperluan serta harapan rakyat dan pihak berkepentingan dengan efisien dan efektif,” katanya.
Kata beliau, usaha menaik taraf perkhidmatan awam memerlukan komitmen termasuk pelaburan membabitkan program latihan berterusan dan pembangunan profesional.
“Menerusi tenaga kerja yang berkemahiran dan berilmu, penjawat awam akan dapat memberi bimbingan dan sokongan kepada semua pihak berkepentingan dalam mendepani cabaran serta meneroka peluang semasa dan masa hadapan,” ujarnya. -TVS