KUCHING, 7 Feb: Pengambilalihan tiga entiti iaitu MASWings, Pelabuhan Bintulu dan Affin Bank memberikan autoriti kepada Kerajaan Sarawak untuk mengawal sektor-sektor strategik di wilayah ini.
Felo Penyelidik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, langkah tersebut membolehkan Sarawak untuk menentukan dasar yang bersesuaian dengan keperluan ekonomi tempatan.
“Pengambilalihan ini dapat memberi Sarawak lebih banyak kawalan terhadap sektor strategik seperti penerbangan, pelabuhan dan perbankan.
“Dengan kawalan lebih besar terhadap entiti ekonomi strategik, Sarawak mampu merancang inisiatif untuk meningkatkan peluang pekerjaan tempatan, seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran,” kataya ketika dihubungi TVS hari ini.
Dalam pada itu, pengambilalihan itu juga membuka peluang ekonomi dalam sektor strategik seperti pelancongan, perdagangan dan perbankan, selain menyokong peluang perniagaan di Sarawak secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata, strategi itu memberi ruang kepada Sarawak untuk meraih pelaburan dalam pembangunan infrastruktur wilayah ini.
“Saya percaya Sarawak akan dapat lebih banyak pelaburan dalam pembangunan infrastruktur dengan tujuan meningkatkan ketersambungan, pengangkutan dan kemudahan logistik yang penting untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan Kerajaan Sarawak bakal memiliki pegangan saham terbesar dalam Affin Bank Bhd dan ketika ini sedang menunggu formaliti daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pegangan saham maksimum yang dibenarkan.
Pada Januari, Kementerian Pengangkutan turut mengesahkan penyerahan hak milik Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak pada Jun ini dengan Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani pada bulan ini. – TVS