SEBUYAU, 7 Feb: Kepentingan pendidikan kepada Sarawak dapat dilihat apabila negeri ini menjadi satu-satunya negeri yang menawarkan pendidikan percuma di peringkat universiti pada tahun 2026.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pendidikan menjadi asas penting Kerajaan Sarawak dalam membina modal insan berilmu pengetahuan di negeri ini pada masa akan datang.
Menurutnya, modal insan itu harus dilatih di peringkat awal sehingga ke tahap paling tinggi yang mampu dicapai oleh individu itu sendiri.
“Mungkin kita dah dengar Yang Amat Berhormat Premier mengatakan kita hendak berikan pendidikan percuma peringkat universiti di Sarawak. Ini merupakan langkah yang amat kita alu-alukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresiasi Kanak-Kanak Taska/Tabika KEMAS Sesi 2023/2024 di Dewan Pembangunan Sebuyau hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata, penganjuran program seperti Majlis Apresiasi Kanak-Kanak Taska dan Tabika anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dilihat mampu memupuk minat kanak-kanak untuk melihat kepentingan pendidikan seawal dari pra sekolah lagi.
“Program ini amat penting bagi anak-anak kita yang akan melangkah ke tahap seterusnya apabila mereka telah tamat dari tabika masing-masing dan suasana mungkin berbeza lebih-lebih lagi apabila melangkah alam darjah satu.
“Apa yang penting di sini adalah usaha untuk membentuk anak-anak kita supaya mereka dapat terus berjaya dalam bidang pendidikan di masa yang akan datang,” katanya.
Seramai 139 kanak-kanak dari taska dan tabika KEMAS dari Sebuyau, Maludam, Pusa dan Lingga diraikan dalam majlis tersebut. – TVS