KUCHING, 7 Feb: Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa komited membanteras isu rasuah di wilayah ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu dapat dilihat dengan kewujudan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIOS) di bawah Jabatan Premier Sarawak.
Kata beliau, Sarawak turut mengukuhkan nilai integriti menerusi Pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Pembangunan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Program Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) serta penubuhan Unit Integriti di enam agensi awam Sarawak selain penubuhan Rang Undang – Undang (RUU) Ombudsman Sarawak yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun lepas.
“Kementerian saya turut menyokong sepenuhnya perkhidmatan berintegriti dengan perlaksaan Pensijilan MS ISO, Anti Bribery Management System (ABMD) malah dipilih sebagai salah satu agensi perintis dalam pensijilan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Integriti kementeriannya di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalannya Datuk Snowdan Lawan.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, beliau dimaklumkan bahawa pemangku sut bersama pasukan petugas ABMS sedang mengemas kini prosedur sedia ada bagi menjayakan perlaksanaan pensijilan tersebut yang dijangka pada awal tahun depan.
“Pensijilan ini akan memfokuskan kepada proses penyaluran geran-geran kementerian dan langkah ini diharap akan memastikan ketelusan perkhidmatan,” katanya. – TVS