LIMBANG, 7 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Limbang menggerakkan 24 anggota dan pegawai untuk melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina (TBC) 2024 bermula 6 hingga 14 Februari.
Ketua Cawangan KPDN Bahagian Limbang, Pulnama Tarah berkata, kesemua cuti anggota dan pegawai dibekukan untuk bertugas di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani, dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan di Limbang dan Lawas.
Tegasnya, para peniaga perlu mematuhi peraturan ditetapkan dan tindakan tegas, akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim berkenaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kita memohon kepada para peniaga supaya mematuhi pelaksanaan skim ini dengan melakukan penandaan harga dan menjual tidak melebihi harga yang telah kita kuatkuasakan.
“Sepanjang skim ini dijalankan KPDN Limbang mengerakkan seramai 24 pegawai terdiri daripada pegawai pemantau harga dan pegawai penguatkuasaan untuk memantau dan menguatkuasakan peraturan sepanjang skim ini,” katanya ketika ditemui media di pejabat KPDN Limbang hari ini.
Pulnama berkata, pelaksanaan skim selama sembilan hari itu melibatkan 10 jenis barangan yang dikawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
10 barangan tersebut ialah udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram), ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor), babi hidup, daging babi termasuk perut dan lemak, kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), ubi kentang import (China), bawang putih, halia tua import, lobak putih import, dan lobak merah.
Katanya lagi, pihaknya juga memberi jaminan tiada berlakunya kekurangan barang kawalan sepanjang skim itu dilaksanakan. – TVS