IPOH, 6 Feb: Polis menggempur 28 sarang penagihan dadah dan menahan 601 penagih pada operasi selama tiga hari di seluruh negeri ini bermula 29 hingga 31 Januari lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi membabitkan 253 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak itu menyasarkan kawasan perumahan, semak dan jeti nelayan serta kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Katanya, Op Tapis Khas Kontinjen Perak itu dibuat dalam usaha melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah apabila polis berjaya memberkas 578 lelaki dan 23 wanita berusia 17 hingga 65 tahun.
“Selain warga tempatan, turut ditahan adalah 23 warga asing iaitu 13 warga Indonesia, (dua) Thailand dan (lapan) Myanmar.
“57 orang ditahan atas kesalahan mengedar dadah, (147) memiliki dadah, (397) memasukkan dadah ke dalam badan, (12) mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan (16) orang dikehendaki polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM253,471.30 termasuklah kira-kira 1.5 kilogram (kg) heroin, 745 gram (g) syabu, (55.5 g) ganja dan (14.9 g) ketamin.
“Turut dirampas, 745 g heroin base, (150.8 g) pil Erimin 5, (3.9 g) pil ekstasi, (52.8 g) serbuk ekstasi, (19.4 kg) kafein dan (62.3 liter) cecair ketum.
“Enam buah kereta turut disita bersama 10 buah motosikal, barang kemas dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM282,622,” katanya lagi.
Tambah Mohd Yusri, polis meminta orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah supaya usaha pembanterasan dapat terus dipertingkatkan. – TVS