KUCHING, 6 Feb: Pengambilalihan tiga entiti iaitu syarikat penerbangan MASWings, Pelabuhan Bintulu dan Affin Bank Berhad menunjukkan persiapan jangka panjang oleh Kerajaan Sarawak untuk menambah sumber pendapatannya.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, ini juga merupakan strategi bagi memastikan Sarawak mampu menampung komitmennya yang turut bertambah.
LTAT dalam perbincangan dengan Kerajaan Sarawak untuk kepentingan tambahan – Affin Bank
“Saya melihat langkah ini sebagai persiapan, seiring dengan bertambahnya komitmen jangka masa panjang dengan adanya operasi Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen, pembinaan jalan raya pesisir pantai dan lain-lain perbelanjaan baharu.
“Langkah ini penting dalam memastikan setiap perbelanjaan projek rakyat ini mampan dalam jangka masa yang panjang,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Semalam, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan Kerajaan Sarawak bakal memiliki pegangan saham terbesar dalam Affin Bank Bhd dan ketika ini sedang menunggu formaliti daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pegangan saham maksimum yang dibenarkan.
Pada Januari, Kementerian Pengangkutan turut mengesahkan penyerahan hak milik Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak pada Jun ini dengan Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani pada bulan ini.
Sementara itu, Dzul Hadzwan berkata, pengambilalihan aset strategik oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari juga akan mempelbagaikan punca pendapatan Sarawak.
“(Ini penting) agar (Sarawak) tidak bergantung kepada hasil minyak yang merupakan punca pendapatan utama buat masa ini.
“Langkah ini juga dilihat usaha kerajaan untuk mempelbagaikan sumber hasil pada masa hadapan agar tidak terus bergantung kepada hasil minyak semata-mata,” katanya.
Kata beliau, ini juga merupakan langkah tepat kerana usaha mempelbagaikan hasil pendapatan Sarawak dilakukan dengan menekankan hasil dalam negeri agar dapat mengimbangi risiko pelaburan luar negara.
“Ini juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi sektor perbankan negara,” ujarnya.
Pada masa sama beliau mengakui pengambilalihan ketiga-tiga entiti tersebut merupakan langkah yang bijak dan berani. -TVS