PETALING JAYA, 6 Feb: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak saudara lelakinya berusia setahun enam bulan, dua minggu lalu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada M. Kesigan, 28, selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh T. Hudesh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang, dekat sini, pada 11.15 malam, 24 Jan lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kes bunuh tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia dan bedah siasat.
Pada 26 Januari lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dibawa ke Hospital Shah Alam oleh bapa saudaranya dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai didera.
Kanak-kanak malang itu dikatakan dihantar ke rumah bapa saudaranya setiap kali ibu bapanya keluar bekerja. -TVS