ALOR SETAR, 6 Feb: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian seorang suspek yang ditahan berkaitan kes memiliki 0.21 gram (g) dadah jenis heroin di Langkawi dekat sini pada 29 Januari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berusia 31 tahun yang dilihat mencurigakan sebelum itu telah ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi selepas berlaku pergelutan antara mereka.
Ujar beliau, suspek luka pada kening kanan, leher kiri, telinga kanan, tangan kanan dan lutut kanan, manakala pegawai tangkapan dan tiga anggota turut mengalami kecederaan kecil.
Polis turut menemui satu keratan penyedut minuman mengandungi 0.21 g disyaki heroin di dalam poket seluar hadapan sebelah kanan selain dia positif dadah jenis morfin hasil ujian saringan air kencing sebelum ditahan di IPD Langkawi.
“Namun, pada sebelah malam kira-kira pukul 8, suspek dibawa ke Klinik Kesihatan Kuah, Langkawi untuk rawatan sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri.
“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan ditahan di zon merah Wad Kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.40 tengh malam pada 1 Februari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fisol berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada 2 Februari kemudiannya mendapati lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala akibat senjata tumpul (blunt force trauma to the head).
“Justeru, satu siasatan dijalankan bagi menyiasat dan mengetahui punca sebenar penyebab kematian suspek.
“PDRM juga sentiasa profesional dan telus dalam menjalankan siasatan serta akan mendakwa sesiapa sahaja walaupun melibatkan pegawai dan anggota polis,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. – TVS