JAKARTA, 6 Feb: Selepas ditahan selama setahun sejak 7 Februari 2023, juruterbang Susi Air dari New Zealand Philip Merthens akan dibebaskan oleh kumpulan pengganas yang menggelarkan dirinya sebagai Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TNPB).
Demikian disampaikan jurucakap TNPB Sebby Sambom dalam satu kenyataan video yang dihantar kumpulan itu yang menyatakan akan melepaskan Merthens dalam masa terdekat.
Sambom berkata, setakat ini tiada sebab untuk juruterbang itu ditawan kerana tiada jalan keluar daripada rundingan antara pihak terbabit.
“Tiada sebab Merthens kita tawan buat masa ini, jika juruterbang ini menjadi mangsa (mati) maka itu akan menjadi legitimasi Indonesia untuk menstigma kita sebagai pengganas dan penjenayah,” katanya.
Sebelumnya TNPB menyebut juruterbang itu akan digunakan sebagai alat permintaan dan tawar-menawar untuk mendesak Indonesia segera mengiktiraf kemerdekaan Papua, namun menurutnya kenyataan itu didedahkan tanpa meminta pendapat kumpulan itu dan kerananya juruterbang akan dibebaskan serta-merta.
Merthens menjadi tebusan TNPB selepas pesawat yang dikendalikannya mendarat di Nduga, kawasan terpencil di Wilayah Papua manakala pesawatnya dibakar oleh pengganas.
Indonesia pernah melancarkan operasi ketenteraan dengan mengerahkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam usaha menyelamatkan juruterbang itu, namun sehingga kini mereka masih belum berjaya membebaskannya.
Malah, empat anggota tentera yang menyertai operasi menyelamat itu maut apabila berlaku tembak-menembak dengan kumpulan pengganas itu. -TVS