KUCHING, 5 Feb: Kerajaan Sarawak berhasrat melatih graduan baharu terutamanya dari kalangan mereka yang mempunyai teori asas dalam bidang pertanian melalui latihan lepasan ijazah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sehubungan itu kerajaan akan merangka satu formula baharu yang bakal diumumkan kelak.
“Saya akan berbincang dengan Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dan ahli Kabinet tentang pendekatan baharu untuk melahirkan petani cekap dan mengamalkan pertanian teknologi hibrid yang berdaya saing. Pendekatan ini juga berkehendakkan modal teroka.
“(Perkara) yang ini masih dalam kajian dan kalau ini berlaku bermakna graduan kita akan menjadi pekebun yang menggunakan teknologi baharu termasuklah penggunaan enjin dan mesin yang boleh membina parit dan tali air dengan baik untuk tanaman padi dan juga tanaman yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS),” di sini, hari ini.
Sebelum ini, Abang Johari berkata, pendapatan para pesawah padi di Lubok Punggor dijangka meningkat kepada 60 peratus daripada pendapatan ketika ini dengan penghasilan tanaman padi yang boleh dituai sebanyak lima kali dalam tempoh 24 bulan.
Menurutnya, jika para petani mempunyai hasil daripada kegiatan atau pekerjaan yang lain, mereka akan menghasilkan pendapatan yang berganda. – TVS