MIRI, 5 Feb: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan RM67.56 juta bagi melaksanakan projek penambahbaikan serta naik taraf jaringan jalan raya di seluruh Miri.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, KKR turut menyediakan anggaran peruntukan RM2.8 juta setahun bagi melaksanakan penylenggaraan rutin Jalan Persekutuan di Miri.
Katanya, KKR turut mengambil kira aduan rakyat tentang masalah kesesakan lalu-lintas yang sering berlaku di laluan utama termasuk di kawasan persimpangan utama serta bulatan di lokasi laluan utama di bandaraya tersebut.
“Kita akan menggantikan bulatan ini kepada sistem lampu isyarat pintar serta jaringan jalan yang lebih luas dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM67.56 juta,” katanya ketika ditemui pada program tinjauan projek-projek infrastruktur di Miri hari ini.
Beliau berkata, sejumlah RM1.23 juta telah diperuntukkan untuk kerja awalan naik taraf jalan raya tersebut.
Jumlah panjang Jalan Persekutuan di Bahagian Miri yang diselenggara oleh syarikat konsesi adalah sepanjang 85.76 kilometer, di mana 44.03 kilometer dikategorikan sebagai Jalan Protokol, manakala 41.73 kilometer adalah Jalan Primary.
Sehingga Disember 2023, pihak konsesi serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah melaksanakan sebanyak 203 kerja-kerja penampalan jalan raya (pothole patching) di Miri bagi keselesaan pengguna jalan raya. -TVS