SARATOK, 5 Feb: Sebanyak RM10 juta peruntukan telah diluluskan bagi melaksanakan projek pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik berkata, kesemua projek fasa kedua itu kini masih dalam peringkat penyenaraian tapak dan dijangka akan bermula selewat-lewatnya pada Julai 2024 ini.
“Untuk fasa kedua kita juga telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk kita melaksanakan banyak lagi jalan-jalan kebun di kawasan DUN Krian.
“Kini ke semua projek tersebut masih dalam proses menyediakan senarai akhir, namun kita menjangkakan ia akan dapat dilaksanakan dalam tahun ini juga iaitu selewat-lewatnya dalam bulan Julai,” katanya ketika ditemui di salah satu lokasi penyerahan tapak projek pertanian untuk DUN Krian hari ini.
Tambahnya, dengan siapnya projek-projek terbabit nanti beliau mengharapkan para pekebun akan lebih mudah dalam membawa hasil pertanian mereka keluar daripada kebun atau ladang masing-masing.
“Kita mengharapkan projek-projek ini meringankan beban dan juga membantu pekebun-pekebun kecil kita untuk membawa hasil tanaman mereka keluar daripada kebun atau ladang masing-masing.
“Kita bersyukur apa yang kita sebut sebelum ini dapat kita laksanakan dan rakyat pun dapat melihat apa yang kita telah rancang dan apa yang kita boleh laksanakan di bawah BDDA,” katanya. -TVS