KUCHING, 5 Feb: Kerajaan Sarawak bakal memiliki pegangan saham terbesar dalam Affin Bank Bhd, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pengesahan tersebut hanya menunggu formaliti daripada Bank Negara dan Kerajaan Sarawak akan memegang saham maksimum yang dibenarkan.
“Berdoalah anda semua agar dalam masa sebulan ini, kita akan mengambil alih sebuah bank yang menyaksikan saham terbesar di dalam bank tersebut akan dimiliki oleh rakyat Sarawak.
“Kemudian kita akan mempunyai bank sendiri,” katanya pada Majlis Konvokesyen Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata dengan pemilikan bank tersebut ia akan melengkapkan ekosistem ekonomi Sarawak.
“Perkara yang menjadi ‘missing link’ ialah bank komersial. Kita sudah ambil balik Pelabuhan Bintulu dan seterusnya ialah syarikat penerbangan (MASwings) yang akan menjadi jambatan dalam usaha peningkatan ekonomi kita.
“Jadi apabila semua ini telah disediakan, kita akan membantu meningkatkan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kewujudan bank itu nanti yang akan dapat membantu mereka,” katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.