KUCHING, 5 Feb: Karnival Usahawan Desa (KUD) merupakan antara inisiatif unggul Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memperkasa pendidikan keusahawanan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata kementerian itu turut menggariskan pengetahuan dan latihan sebagai teras untuk melahirkan usahawan yang berdaya maju bagi memacu pembangunan ekonomi luar bandar.
Menurutnya, para usahawan telah berjaya menampilkan hasil bimbingan yang diperoleh daripada agensi-agensi terlibat secara terus melalui penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kota Samarahan baru-baru ini.
Seramai lebih 100 usahawan yang mengambil bahagian berjaya mencatatkan transaksi jualan sehingga RM1.25 juta melalui jualan selama empat hari dan padanan perniagaan.
“Mini KUD@Kota Samarahan pada awalnya menetapkan sasaran seramai 30,000 pengunjung dengan nilai transaksi jualan berjumlah RM300,000.00.
“Bila usahawan berjaya, bukan sahaja produk yang laris tetapi pada masa yang sama padanan kerja dapat dibuat, masyarakat di sekitarnya mendapat peluang pekerjaan daripada usahawan yang telah kami hasilkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, KUD juga berperanan sebagai batu loncatan untuk mendedahkan usahawan desa kepada sistem perniagaan yang lebih baik dan seiring dengan kehendak pasaran terkini.
Rubiah berkata KKDW komited untuk memberikan pendedahan teknologi digital dalam perniagaan sebagai langkah pengadaptasian untuk berdepan dengan cabaran persaingan sengit ekonomi semasa.
Melalui pameran dan penerangan oleh Desamall pada karnival itu, para usahawan disediakan dengan asas penggunaan aplikasi teknologi dan sistem pemasaran digital untuk memasarkan produk buatan komuniti desa.
“Di Mini KUD, kita mempunyai reruai ‘Desamall’ yang membolehkan usahawan memasarkan produk mereka melangkaui Malaysia.
“Desamall adalah platform yang bukan sahaja memasarkan produk luar bandar, tetapi ia mempunyai padanan dengan aplikasi seperti Lazada dan Shopee dan kita telah berjaya memasukkan lebih 3,000 produk desa ke pasaran yang luas ini,” katanya.
Selain itu, KUD terus menjadi pentas buat KKDW untuk mempromosi insentif dan kemudahan yang disediakan bagi membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.
KUD Kota Samarahan 2024 yang berlangsung 1 hingga 4 Februari lalu telah meraih kehadiran lebih 68,000 pengunjung dari sekitar Kota Samarahan dan Kuching.
Antara agensi yang mengambil bahagian adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan usahawan-usahawan tempatan. – TVS