KUCHING, 5 Feb: Warga emas disaran melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Pusat Perkhidmatan Warga Emas kerana ia dapat meningkatkan interaksi serta bersosial sesama mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ia sekali gus dapat mengurangkan perasaan kesunyian dan kekosongan.
“Sehingga kini terdapat sebanyak 12 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan 13 Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) yang ada di seluruh Sarawak. Pusat ini diwujudkan adalah untuk menyediakan tempat bagi warga emas berkumpul dan melaksanakan aktiviti bersama.
“Adalah disarankan agar warga emas serba bersedia untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dilaksanakan di Pusat Aktiviti Warga Emas dan Pusat Perkhidmatan Warga Emas yang sedia ada,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina anjuran Sarawak Hun Nam Siang Tng di sini, malam ini.
Turut hadir Pengerusi Hun Nam Siang Tng, Tay Boon Sin serta Pengasas dan Pengerusi Persatuan Cintai Buku Kuching, May Loo.
Dalam pada itu, Fatimah berkata seramai 20,992 warga emas telah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Sarawak sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM119,759,500.
Bantuan itu katanya adalah untuk kelangsungan hidup dalam menjalani kehidupan seharian.
“Dengan kadar RM500 sebulan bagi seorang, bantuan ini diberikan kepada warga emas miskin tegar yang bukan tinggal di mana-mana institusi kendalian JKM atau pusat jagaan harian atau berkediaman yang memberi perkhidmatan secara percuma, bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup warga emas,” ujarnya lagi.
Semasa majlis itu, 38 Yayasan Amal Cinta menyerahkan sumbangan RM30,000 kepada Hun Nam Siang Tng yang disaksikan Fatimah. – TVS