KUCHING, 5 Feb: Geriatrik Komuniti (GeKo) yang dipelopori Klinik Kota Samarahan berupaya menyediakan sokongan dan perkhidmatan yang mencukupi kepada warga emas menjalani kehidupan seharian.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata inisiatif GeKo itu juga dapat memastikan penuaan yang sihat, aktif dan produktif dengan memperkasakan warga emas, keluarga dan masyarakat secara amnya di Sarawak.
Hilangkan kesunyian, warga emas digalak aktif dalam aktiviti anjuran PAWE
“GeKo merupakan inisiatif nasional pertama yang menyediakan penjagaan geriatrik khusus dalam komuniti melalui penjagaan utama dengan menyasarkan vulnerability melalui intervensi awal serta disasarkan.
“Pada masa sama, GeKo juga mengoptimumkan kapasiti orang tua dan untuk mengekalkan tahap kebebasan yang munasabah,” katanya berucap semasa Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina anjuran Sarawak Hun Nam Siang Tng di sini malam ini.
Inisiatif GeKo diasaskan oleh Ketua Klinik Kota Samarahan Dr Sally Suriani Ahip pada Oktober 2019 yang merupakan satu inisiatif untuk menilai kelemahan awal dan intervensi pelbagai disiplin yang tepat pada masanya dalam persekitaran penjagaan primer.
Selain itu, Fatimah berkata inisiatif GeKo itu mampu mempersiapkan Sarawak menuju kepada negeri tua menjelang 2028.
Dalam pada itu, inisiatif itu juga dapat membantu usaha untuk menjaga diri sendiri tanpa bantuan orang lain.
“Kita perlu mengambil berat kesihatan kita, bukan sahaja dari segi pemakanan kita tetapi juga dari segi fizikal, mental dan juga emosi,” katanya. – TVS