IPOH, 5 Feb: Seorang anggota polis mengalami kecederaan parah selepas dilanggar sebanyak dua kali oleh sebuah kereta yang cuba ditahan semasa melakukan tugasan rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, anggota berusia 34 tahun tersebut dilaporkan mengalami patah tulang rusuk dan tulang bahu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian berlaku semasa mangsa bersama seorang lagi rakan sekerja yang menunggang motosikal secara berasingan menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
“Pemandu telah mengundurkan kereta dan melanggar motosikal mangsa hingga dia terjatuh.
“Suspek kemudian menggerakkan kereta ke hadapan dan mengundur semula sehingga melanggar mangsa kali kedua sebelum memecut kereta ke arah Tanah Hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Yusri, daripada impak kejadian itu, anggota terbabit tidak dapat bergerak sebelum dia dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan parah.
Katanya, polis sedang mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi pegawai penyiasat kanan jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Asisten Superintendan (ASP) Norazlina Rais Ahmad di talian 013-628 2176 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – TVS