LAWAS, 5 Feb: Lapan penghuni bertindak pantas menyelamatkan diri selepas rumah dua tingkat mereka ranap dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Long Tukon di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu jam 9.33 malam.
“Setiba dilokasi kejadian, sebuah rumah dua tingkat terbakar keseluruhannya.Lapan penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan melibatkan mangsa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Azman, punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami masih dalam siasatan.
Katanya, seramai lapan anggota dan dua jentera dari BBP Lawas dikerah ke lokasi yang jauhnya lebih 30 kilometer dari balai. -TVS