MIRI, 5 Feb: Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkam bas dan kereta di Kilometer 41, Jalan Pan Borneo, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali Melina ak Bugau,56, pemandu kereta Proton Saga.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.06 pagi dengan menggerakkan Bălai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan BBP Batu Niah ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah bas penumpang.
“Seorang lelaki masih tersepit di tempat duduk pemandu manakala 14 penumpang serta pemandu terselamat tanpa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setelah melakukan ‘size up’ pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan pengusung.
“Seterusnya mangsa dipindahkan ke tempat selamat untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. -TVS