KOTA SAMARAHAN, 4 Feb: Latihan, pembangunan serta pembiayaan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya membantu usahawan wanita di Sarawak menjana pendapatan konsisten mencecah lima angka sebulan.
Beberapa usahawan yang ditemui TVS di Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) Kota Samarahan 2024 mengakui mereka menerima bimbingan daripada agensi itu untuk memasarkan produk masing – masing.
Pemilik Balau Agrotech Sri Aman, Rokiah Banseng berkata, didikan MARA telah meningkatkan hasil jualan produk hiliran berasaskan cendawan yang dihasilkannya.
“Produk saya berasaskan pertanian dan hasil rimba. Antaranya termasuk rempeyek cendawan.
“Produk ini dilancarkan pada hujung tahun lepas dan setakag ini sebanyak 5,000 pek berjaya dijual,” katanya ketika ditemui TVS di sini hari ini.
Sementara itu, bagi Pemilik DY Pelangi Resources, Dayang Norella Bolhassan, dia berterima kasih kepada MARA yang memberi bantuan untuk mengembangkan perniagaannya.
Hasil tunjuk ajar agensi itu, jela Norella, syarikatnya kini aktif mengeluarkan produk makanan termasuk serbuk belacan yang mendapat permintaan tinggi.
“Idea untuk menghasilkan serbuk belacan ini tercetus kerana ramai orang suka makan buah dan ulam-ulaman dengan perencah tapi sukar hendak hasilkannya.
“Menerusi produk saya ini, mereka hanya perlu goncang botol belacan dan boleh terus nikmatinya bersama buah- buahan atau sayur – sayuran,” katanya.
Ketika ini kata Dayang Norella, syarikatnya berjaya memasarkan produk itu di 22 pasar raya di seluruh Sarawak dan berhasrat mengeksportnya ke luar negara menjelang tahun depan.
Pemilik Sya Trigona Familyz, Norina Bunyam pula berjaya menonjolkan khasiat produknya sehingga mendapat permintaan dari Brunei dan Indonesia.
“Istimewanya adalah kelebihan madu yang dihasilkan kita, walaupun penawarannya terhad, tetapi permintaannya tinggi kerana khasiatnya terhadap kesihatan,” katanya.
Tambah Norina, pelbagai produk lain turut dihasilkan menerusi madu keluarannya syarikatnya. – TVS