KOTA SAMARAHAN, 4 Feb: Sejak kebelakangan ini, semakin banyak syarikat tempatan yang mengeluarkan pelbagai produk makanan sejuk beku berasaskan daging.
Turut meneroka segmen berkenaan ialah Fayeed Production dari Sarikei yang menawarkan produk seperti daging kisar, bebola daging dan daging burger.
Wakil syarikat berkenaan, Raden Puteri Ayu Raden Yunus berkata, produk mereka mempunyai keistimewaan tersendiri.
Ikan terubuk sambal sira pikat pelanggan Brunei
“Daging yang kami hasilkan memiliki tekstur isi yang berjus selain sudah mempunyai rasanya yang tersendiri.
“Ini menjimatkan pelanggan kerana mereka tidak perlu memasukkan bahan perasa lain ketika memasak daging yang dibeli daripada Fayeed Production,” katanya ketika ditemui TVS dalam Karnival Usahawan Desa (KUD) di sini, semalam.

Sementara itu, Raden Puteri Ayu berkata, syarikat berkenaan juga bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.
“Kami mula sertai program MARA pada 2019 yang telah membantu syarikat untuk berkembang lebih maju.
“Melalui penyertaan bersama MARA, syarikat dibimbing untuk mendapatkan persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta Program Dana Pembiayaan Keterjaminan Makanan (DPKM),” katanya lagi.
Berkenaan perancangan masa depan syarikat, Raden Puteri Ayu berkata, pada tahun ini mereka akan menyusun beberapa strategi untuk menembusi pasaran luar Sarawak.
“Kami juga berharap agar produk akan semakin dikenali serta setanding dengan jenama lain,” katanya. -TVS