KUCHING, 4 Feb: Kerajaan Sarawak melihat penggunaan teknologi data sebagai elemen penting untuk melancarkan urusan pentadbiran, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, teknologi itu juga seiring dengan perkembangan global apabila banyak negara maju berpandukan data serta teknologi inovasi.
Premier Sarawak itu berkata, teknologi berkenaan juga akan membantu Kerajaan Sarawak mempunyai hala tuju jelas untuk membangunkan wilayah ini.
“Kalau disebut data dan inovasi, anda boleh menginovasikan sesuatu perkara menerusi data yang diperolehi.
“Oleh itu kita (Sarawak) harus memiliki pendekatan (teknologi data) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan LANDAS Summit 2024 di sini, malam tadi.
Turut hadir, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Pada majlis itu, Abang Johari turut berkesempatan menyampaikan trofi kemenangan International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) 2023 kepada pemenang.
LANDAS Summit ini merupakan program tahunan Jabatan Tanah dan Survei yang dianjurkan setiap suku tahun pertama untuk dijadikan platform pertemuan pegawai-pegawai kanan bagi memantapkan kapasiti serta mengukuhkan kerjasama.
Pada edisi kali ini, Landas Summit menekankan aspirasi Premier Sarawak untuk menjadikan masyarakat di wilayah ini bergerak maju didorong oleh data dan inovasi.
Ini seterusnya membolehkan semua lapisan masyarakat menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030). -TVS