LAWAS, 4 Feb: Sarawak terus menjadi destinasi pelaburan utama di Malaysia dalam pelbagai sektor ekonomi di sebalik penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini berikutan kestabilan politik dan dasar ‘mesra perniagaan’ di Sarawak telah menarik minat pelabur.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, apa yang lebih mengujakan ialah terdapat pelabur yang mahu terlibat dalam pelbagai bidang ekonomi baharu termasuk tenaga boleh diperbaharui.
“Syukur Alhamdulillah minat pelabur dalam dan luar negara di Sarawak terus meningkat.
“Ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap dasar mesra perniagaan oleh Kerajaan Sarawak telah memudahkan urusan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina 2024 di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai keupayaan Sarawak menarik pelabur tempatan dan asing, Awang Tengah berkata, ini turut disumbangkan oleh kelebihan serta penerokaan wilayah ini terhadap beberapa sektor ekonomi baharu termasuk hidrogen dan solar. -TVS