KOTA SAMARAHAN, 4 Feb: Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021 oleh kerajaan telah menjejaskan banyak perniagaan, tidak terkecuali ada yang terpaksa gulung tikar.
Bagi Zias Catering, PKP turut memberi cabaran kepada syarikat itu apabila majlis keraian dan jamuan yang melibatkan kehadiran besar tetamu tidak dibenarkan.
Pengasasnya, Sharifah Wan Man mengakui, pada mulanya dia turut runsing memikirkan nasib perniagaan dan pekerjanya.
“Namun saya tidak boleh mudah berputus asa. Ketika pandemik, saya mula mencari idea untuk menjana pendapatan.
“Maka tercetuslah idea untuk menghasilkan ayam perap berempah,” katanya kepada TVS ketika ditemui pada Karnival Usahawan Desa (KUD) semalam.
Syarikat keluarkan produk daging dari Sarikei sasar tembusi pasaran luar Sarawak
Menurut usahawan yang mesra disapa Mbok Zias ini, syarikatnya turut mendapat bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengembangkan lagi perniagaan.
“Saya mula mengikuti kursus anjuran MARA pada 2021 dan saya akui agensi kerajaan itu telah banyak menyediakan kemudahan kepada usahawan tempatan.
“Antara bantuan yang saya terima termasuklah geran pembangunan produk selain bimbingan untuk mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sijil Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI),”katanya.
Berkenaan sijil halal JAKIM, wanita ini memberitahu, syarikatnya sedang menunggu keputusan audit dan berharap agar proses itu selesai pada minggu depan.,
Mengenai perniagaan katering, Mbok Zias berkata, dia memulakan operasi di rumah sebelum berpindah ke kawasan komersial di Matang pada 2016.
Selain katering, Syarikat Zias juga melebarkan perniagaan mereka dengan menghasilkan produk perapan makanan yang menggunakan hasil bumi Sarawak seperti lada hitam dan gula apong selain dari bahan masakan seperti halia kisar, bawang kisar dan cili kisar.
Tahun lalu, Syarikat Zias berjaya mencapai jualan lebih RM200,000 dan turut memasarkan produk mereka di seluruh negara.-TVS