KOTA SAMARAHAN, 4 Feb: Mini Karnival Usahawan Desa @ Kota Samarahan 2024 yang berakhir hari ini mencatat jualan keseluruhan sebanyak RM1.25 juta dengan kehadiran lebih 68,000 pengunjung.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, angka itu sekali gus mengatasi sasaran jualan RM300,000 yang disasarkan.
Kata beliau, KUD menjadi platform penting untuk mempromosi kemudahan yang disediakan oleh sektor awam serta swasta untuk membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.
“Mini KUD@Kota Samarahan pada asalnya menetapkan sasaran seramai 30,000 pengunjung hadir
“Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM611,000 merupakan jualan tunai manakala RM637,000 lagi merupakan padanan perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Mini Karnival Usahawan Desa atau Mini KUD@ Kota Samarahan di sini hari ini.
Menurut Rubiah, padanan perniagaan yang dilaksana ketika karnival akan membuka ruang kepada produk-produk dihasilkan oleh usahawan desa memasuki dalam rantaian peruncitan di seluruh negara.
Katanya, antara rantaian peruncitan yang terlibat termasuk Pasaraya Mydin, Aeon dan Kedai Mesra Petronas.
“Selepas ini, mereka (usahawan desa) akan berusaha untuk menepati pemintaan terhadap padanan perniagaan yang mereka persetujui semasa berlansungnya KUD@Kota Samarahan ini,” katanya.
Sepanjang empat hari karnival, lebih 80 syarikat berdaftar berjaya memperoleh padanan perniagaan dengan rangkaian peruncitan terlibat. -TVS