KUCHING, 4 Feb: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan beliau pernah berdepan ujian besar dalam hidupnya apabila didiagnosis kanser Nasopharyngeal Carcinoma (NPC).
Ahmad Samsuri berkata, beliau dimaklumkan ketika itu sel kanser dalam tubuhnya berada pada peringkat tiga dan hampir sampai ke peringkat empat.
“Saya menjalani proses rawatan kemoterapi dan radioterapi.
“Saya anggap perkara itu merupakan satu bentuk ujian yang perlu dihadapi dalam kehidupan dan saya lalui semua proses itu melibatkan kemoterapi sebanyak tujuh kali dan 35 kali proses rawatan radioterapi,” katanya menerusi video yang dikongsi di Facebook.
Kongsi Ahmad Samsuri lagi, proses rawatan berkenaan tidak mudah kerana sepanjang tempoh itu beliau turut berdepan kesukaran malah tidak dapat menjamah makanan selama hampir setahun dan hanya bergantung dengan susu sahaja.
Tambah Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang itu, beliau juga hilang deria rasa selama lapan bulan.
“Apabila minum madu, saya tidak merasai kemanisannya,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Kemaman itu meluahkan rasa bersyukur kerana mendapat sokongan insan di sekelilingnya.
Kata beliau, pesakit kanser juga perlu kuat semangat dan tidak mudah berputus asa.
“Pentingnya disiplin, kesabaran dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup, serta bersyukur atas nikmat yang diberikan oleh Allah SWT,” katanya. – TVS.