KUCHING, 4 Feb: Mahsuri Dagang Sdn Bhd akan mengadakan Jerayawara untuk mempromosi produk keluarannya di Sarawak.
Ketua Komersial Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, beberapa program akan diadakan pada suku pertama 2024 termasuk bekerjasama dengan TVS untuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Program CSR ini bertujuan untuk berkongsi dengan pelanggan di Sarawak mengenai apa yang syarikat laksanakan di lapangan.
“Kita masih dalam proses perancangan namun mungkin program akan diadakan di Kuching atau Sibu,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.
Sementara itu Eksekutif Pemasaran Digital Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Wahida Amalin ketika ditemui di Mahsuri Wet Market Tour di Medan Niaga Satok pula berkata, program di sini bertujuan untuk mendekati pelanggan mereka di Sarawak.

Katanya, pelbagai promosi hebat, barangan premium serta demo masakan diadakan pada program tersebut.
“Selain meningkatkan aktiviti pada market tour ini, kita akan mengadakan program ketika Ramadan selain promosi secara besar-besaran di semua outlet terkemuka di Sarawak,” tambahnya.
Tambah Wahida Amalin, program promosi di Sarawak juga akan diteruskan sempena Hari Gawai akan datang.
Sementara itu, pelanggan yang ditemui pula berkata, beberapa produk keluaran syarikat itu seperti kicap manis pedas menjadi pilihan mereka.
Menurut Syed Zafirna, dia akan membeli produk Mahsuri pada setiap bulan.
“Memang yakin dengan produk ini kerana status halal selain dikeluarkan oleh syarikat tempatan.
“Yang paling saya suka sudah tentu kicap manisnya selain sos tiram untuk memasak sayur,” katanya.
Bagi Po Siok Choon pula, jenama Mahsuri sudah terkenal dan amat mudah untuk mendapatkan produk ini.
“Memang popular. Ini adalah antara yang terbaik,” katanya.
Bagi Nur Kamsiah pula berkata, dia akan mengesyorkan produk ini kepada keluarga dan kenalannya kerana berpuas hati dengan kualitinya.
“Saya menggunakannya ketika menyediakan hidangan seperti ayam masak kicap, sayur-sayuran dan sebagainya. Ia memang pilihan saya kerana kicap Mahsuri terbaik,” katanya. – TVS