KUCHING, 4 Feb: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sarawak hingga esok.
Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca itu dijangka di Sibu, Mukah, Daro, Matu, Dalat dan Bintulu bermula hari ini hingga esok, 5 Februari.
Hujan berterusan juga dijangka berlaku di Miri dan Limbang hari ini.
“Amaran hujan berterusan dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.
“Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan,” jelas MetMalaysia menerusi kenyataan media.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia atau memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. -TVS