Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tan Sri Razaruddin Husain menyantuni orang awam ketika lawatan beliau ke Klang hari ini. Foto, PDRM.

Gaji rendah, sikap antara faktor pegawai, anggota polis terlibat rasuah – KPN

ByBernama

SHAH ALAM, 4 Feb: Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain, hari ini tidak menafikan gaji yang rendah dan sikap individu antara faktor yang menyebabkan seseorang pegawai serta anggota terlibat dalam kesalahan rasuah.

Beliau berkata selain faktor tersebut, banyak lagi faktor lain yang perlu dilihat ke arah melahirkan pegawai dan anggota yang bersih serta berintegriti.

“Memang saya akui, gaji itu merupakan satu daripada faktor. Saya ambil indikator begini gaji konstabel termasuk elaun RM2,500 menetap di Kuala Lumpur dia (dikategorikan) miskin bandar, tetapi, kalau duduk di Kuala Nerang (Kedah), Besut (Terengganu) dan Kinabatangan (Sabah) atau Beluran (Sabah) gaji dia itu banyak, itu antara satu faktor yang perlu dilihat.

“Kalau dibandingkan dengan Singapura tiada rasuah sebab gaji kecil kerana itu negara kecil. Kita sendiri ada 137,000 personel dan akan bertambah pada tahun ini dengan kemasukan 4,000 lagi (pegawai dan anggota polis),”  katanya kepada pemberita selepas program Walkabout di Pasar Pagi Pandamaran di sini, hari ini.

Razaruddin turut menjelaskan bahawa masih terdapat kes-kes rasuah membabitkan golongan yang berpendapatan tinggi.

“Kalau gaji konstabel ini sikit dan terlibat dalam rasuah, saya boleh bagi peratusannya, kita juga biasa dengan berita apabila ada pengarah syarikat dan agensi pun ditangkap. Adakah gaji mereka sedikit? Oleh itu, perkara ini lebih kepada sikap seseorang itu,” tegas Razaruddin.

Dalam pada itu, Razaruddin berkata mana-mana pihak boleh membuat laporan terhadap dirinya sekiranya beliau melanggar undang-undang atau peraturan.

“Masyarakat mempunyai hak dari segi undang-undang dan perlembagaan dalam menyalurkan maklumat atau membuat laporan terhadap mana-mana polis di negara ini. Sekiranya, saya langgar undang-undang dan tidak ikut peraturan, laporkan disebabkan saya pun polis.

“Kita memang terbuka dan mengalu-alukan masyarakat di seluruh negara beri maklumat dan laporkan supaya siasatan adil dapat dijalankan. Mana-mana pegawai dan anggota terlibat, kita akan tuduh di mahkamah,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan