SIBU, 3 Feb: Penguasaan Bahasa Inggeris harus dititikberatkan dalam kalangan pelajar dari peringkat awal meskipun mereka yang berada di luar bandar, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai.
Menurutnya pendedahan awal kepada mereka akan memudahkan golongan itu menguasai Bahasa Inggeris sekali gus mendepani cabaran pelajaran yang sangat tinggi pada masa kini.
“Walaupun kita berada di pedalaman tapi tidak mematahkan semangat kita untuk berjuang bersama-sama andai kita dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan sepenuhnya.
“Justeru, semua ibu bapa diseru untuk bersama-sama mendukung hasrat kerajaan tersebut ke arah mematlamatkan pendidikan,” katanya.
John berkata demikian pada Majlis Apresiasi Kanak-Kanak Tabika/Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)Â Parlimen Selangau di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, John turut mengakui golongan ibu bapa kini berdepan dengan cabaran pengaruh gajet dalam kalangan anak-anak mereka.
“Rata-rata ibu-bapa mengambil pendekatan mudah dengan hanya membenarkan anak-anak bermain gajet tanpa mengira masa.
“Walaupun tidak semua penggunaan gajet akan mendatangkan masalah, tetapi jika disalahgunakan boleh membawa anak-anak kita ke arah kemerosotan prestasi pendidikan dan diri.
“Oleh yang demikian, sikap tegas ibu bapa terhadap penggunaan gajet amatlah diperlukan bagi mengehadkan masa penggunaan dan capaian internet anak-anak,” tegasnya.
Terdahulu, majlis meraikan seramai 146 kanak-kanak daripada 33 buah Tabika dan Taska di Parlimen Selangau di sini.-TVS