SRI AMAN, 3 Feb: Pesta Lampu di Tokong Ciyun di sini menjadi daya tarik unik sambutan Tahun Baru Cina di daerah ini.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata pesta yang menyerikan perayaan itu diyakini turut menggalakan lebih ramai masyarakat datang berkunjung ke rumah ibadat itu.
“Perasmian menyalakan lampu hari ini di Tokong Ciyun menandakan seminggu lagi perayaan Tahun Baru Cina.
“Ia boleh menarik orang dari luar Sri Aman untuk datang ke sini untuk melihat keindahan tokong yang berdiri megah di hadapan Sungai Batang Lupar yang cantik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Lampu di perkarangan Tokong Ciyun di Sri Aman pada Jumaat.
Tambahnya, bersempena dengan naga atau ‘Wood Dragon’ ia pasti akan membawa lebih banyak elemen positif kepada seluruh masyarakat sekali gus membawa kepada kebaikan, kekayaan dan kesejahteraan.
Dalam pada itu, Doris memberitahu pembinaan bangunan tambahan bagi Tokong Ciyun akan menjadi satu lagi ikon pelancongan baharu bagi Daerah Sri Aman.
Menurutnya tokong itu nanti akan dapat menampung lebih ramai penganut Buddha bersembahyang di sana dengan penambahan Patung Guanyin baharu di sini.
“Dari segi pelancongan saya percaya dia boleh menjadi tarikan untuk pelancong luar untuk datang ke Sri Aman.
“Sekarang bangunan ini adalah tempat yang di panggil Guanyin ataupun ‘the goodes of mercy temple’ sebelah sana mereka akan buat satu lagi tokong ada deity yang tersendiri jadi dengan adanya ia nanti ini akan menjadi satu tempat beribadah yang lebih besar,” katanya.
Inisiatif berkenaan juga kata Doris akan mengeratkan lagi perpaduan masyarakat di sini berikutan tokong tersebut merupakan kebanggaan warga Sri Aman. -TVS