GEDONG, 3 Feb: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk menaik taraf parit dan tali air di kawasan Lubok Punggor sebagai inisiatif meningkatkan infrastruktur pengairan padi di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kos pembangunan parit dan tali air bagi kawasan-kawasan lain di Sarawak juga akan dapat dianggarkan melalui kaedah model pertanian baharu penanaman padi di Lubok Punggor.
Menurut beliau, pelaksanaan ini akan membolehkan peningkatan pengeluaran padi di seluruh Sarawak dan akan dapat meningkatkan pendapatan para petani.
“Apa yang penting adalah menggunakan teknologi yang mana Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Lubok Punggor, mereka menggunakan mesin, jadi di sini kita akan mengambil kira untuk menggunakan mesin.
“Mesin ini dipunyai oleh koperasi di kawasan tersebut, mereka boleh menyewakan ia kepada para petani,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat Projek Transformasi Padi @ Lubok Punggor daripada pihak UPM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Beliau menambah, bagi fasa kedua, keseluruhan kawasan Lubok Punggor akan menggunakan sistem tersebut dan akan dijadikan sebagai model untuk pembangunan berkaitan penanaman padi di masa hadapan. – TVS