BETONG, 3 Feb: Terdapat prosedur yang ditetapkanĀ Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengehadkan wakil rakyat menyampaikan bantuan kepada sekolah-sekolah di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut Uggah isu sedemikian turut dihadapi beliau yang terpaksa menyatakan permohonan secara bertulis kepada KPM bagi menyampaikan sumbangan penghawa dingin kepada salah sebuah sekolah di Spaoh.
“Dulu senang kita bagi terus boleh lepas sekarang undang-undang baru jadi saya diminta menulis surat kepada kementerian untuk memohon kebenaran bagi memasang penghawa dingin di sekolah,
“Bukan wakil rakyat tidak mahu tolong sekolah tetapi itulah hakikatnya banyak karenah yang perlu kita hadapi dari kementerian,” katanya ketika berucap menutup program randau pendidikan di Dewan Sinaran SMK Spaoh di sini pada Sabtu.
Meskipun begitu, beliau bersama Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu akan terus sedaya upaya membantu pihak sekolah di kawasan DUN Bukit Saban demi anak-anak di Spaoh menerima pendidikan yang terbaik.
“Walau ada masalah sedikit, saya bersama-sama dengan Dr Richard Rapu (Ahli Parlimen Betong) akan terus berusaha sebaik mungkin dalam membantu pihak sekolah di Spaoh terutamanya dari segi peruntukkan demi kecemerlangan anak-anak di Spaoh selepas ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Uggah mengumumkan tigaĀ pusat hemodialisis baharu bakal dibina di tiga kawasan dalam Daerah Betong Ā tahun ini.
Uggah mendedahkanĀ kawasan yang terlibat antaranya di Kampung Spaoh, Kampung Beladin dan Kampung Kabong.
“Jawatankuasa BDDA pada mesyuarat baru-baru ini telah memutuskan dan bersetuju bahawa ketiga-tiga kawasan ini perlu dibina pusat hemodialisis,
“Dengan kos pembinaan setiap satu sebanyak RM 5 juta dan akan dibina pada tahun ini,” katanya pihaknya turut bercadang untuk membaik pulih pusat hemodialisis yang telah uzur di Kampung Debak.-TVS.