NIBONG TEBAL, 3 Feb: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyelesaikan penyaluran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024 bernilai lebih RM700 juta pada 11 Februari depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, program penyerahan bantuan bagi meringankan beban ibu bapa itu sedang berjalan di seluruh negara.
“(Di) Pulau Pinang (misalnya) sudah 93 peratus (diserahkan), maknanya hampir selesai.
“InsyaAllah 11 Februari akan selesai (seluruh negara) membabitkan RM788 juta kepada lebih 5 juta pelajar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2024 di Kampus Universiti Sains Malayisa (USM) di sini.
BAP bernilai RM150 diberikan kepada warganegara dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf, bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, sekolah swasta berdaftar dengan kerajaan, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.
Dalam perkembangan lain, Fadlina mendedahkan KPM telah mewujudkan pasukan khas bagi mempercepatkan proses penyelarasan sistem prasekolah.
Menurutnya, perkara itu perlu disegerakan seiring agenda reformasi pendidikan untuk memastikan kurikulum dan isu-isu berkaitan prasekolah dapat diselaraskan.
“Kita akan maklumkan dari masa ke semasa perkembangan apa yg telah pun kita jayakan menerusi ‘task force’ ini.
“Antara lain termasuklah perbincangan peluasan prasekolah, kemudian dari segi kualiti pendidikan prasekolah itu sendiri yang juga pasti menjadi sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan untuk menjayakan isu prasekolah,” katanya lagi.
Terdahulu, pada 24 Januari lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, jemaah menteri memutuskan sistem pendidikan prasekolah di negara ini akan diselaraskan oleh KPM.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, kerajaan melihat pendidikan prasekolah agak rencam dan pelbagai selain menerima aduan daripada ibu bapa berkenaan kualiti yang berbeza.- TVS