KUCHING, 1 Feb: Sarawak diakui memainkan peranan penting dalam memangkin industri peralihan tenaga di rantau Asia.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry turut memuji usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan tenaga hijau.
“Sarawak mempunyai peranan unik untuk dimainkan terutamanya dalam usaha peralihan tenaga,” kata Terry kepada pemberita sejurus mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ailsa berkongsi inti pati kunjungan terbabit bagi membincangkan kerjasama dalam bidang semikonduktor, pembangunan tenaga hijau dan peralihan tenaga.
“Dalam masa yang sama, kami turut berbincang mengenai isu keselamatan serantau bagi memastikan rantau ini selamat dan aman,” katanya lagi.
Difahamkan kunjungan hormat kepada Abang Johari itu merupakan kunjungan julung kali Terry sebagai Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia di sini sejak memegang jawatan itu pada Ogos 2023.
Beliau menggantikan Charles Hay yang telah berkhidmat sejak tahun 2019. -TVS