KUCHING, 1 Feb: Isu banjir kilat di beberapa kawasan di bandar raya ini akan diatasi dengan projek tebatan banjir menggunakan peruntukan RM150 juta.
Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman berkata projek di bawah kelolaan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak itu dijangka menyelesaikan masalah banjir kilat di Taman Sejoli, Taman Morni dan Hospital Umum Sarawak.
“Ia di bawah DID untuk membantu Dewan Bandaraya Kuching Utara dan juga Majlis Bandaraya Kuching Selatan menangani masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Khas Dewan Bandaraya Kuching Utara di Pangkalan Sapi di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menjelaskan bahawa kapasiti tampungan sistem peparitan di kawasan bandar raya ini yang terhad kepada 100 milimeter kadar jumlah hujan yang diterima pada satu masa.
Bagaimanapun kapasiti tersebut tidak dapat menampung jumlah air hujan sekiranya keadaan cuaca hujan beterusan dalam tempoh yang lama sekali gus mengakibatkan berlaku limpahan air.
“Hujan yang begitu lebat dalam jangka masa yang begitu panjang mengakibatkan ketidak ketahanan menampung air hujan begitu banyak,” katanya. – TVS