KOTA SAMARAHAN, 1 Feb: Pertandingan Rural Business Challenge (RBC) kembali lagi dengan menjanjikan geran berjumlah RM15 juta untuk dimenangi para usahawan belia desa di Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, peluang keemasan itu juga inisiatif kerajaan bagi membantu mengingkatkan impak perniagaan mereka menerusi pertandingan yang sebelum ini diadakan edisi pertamanya pada 2017.
Rubiah memberitahu tarikh pendaftaran RBC telah dilanjutkan kepada 29 februari untuk meningkatkan penyertaan terutama dari Sarawak.
“Setakat ini jumlah akaun berdaftar adalah 5,917 dan Sarawak hanya mempunyai 37 penyertaan – antara yang terendah selain Perlis dengan 23 penyertaan, Pulau Pinang (41) dan Perak (83).
“Kepada orang Sarawak, khususnya orang Kota Samarahan yang belum lagi mengenali RBC, kita mempunyai reruai khas untuk anda mengetahui dengan lebih lanjut sama ada perniagaan anda layak ataupun tidak layak menyertai RBC.
“Kita juga ada bawa usahawan-usahawan yang telah memenangi geran RBC sebelum ini untuk mempelajari daripada mereka, bagaimana mereka dapat menjana perniagaan yang melebihi RM1 juta secara tahunan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan persiapan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) 2024 di sini, hari ini.
Rubiah memberitahu barisan pemenang akan disenarai pendek melalui lima peringkat penilaian rancangan perniagaan (RP) oleh panel penilai.
“Penilaian RBC kali ini memfokuskan kriteria-kriteria tertentu bagi memastikan 30 peratus daripada pemenang yang akan disenarai pendek mempunyai potensi perniagaan berimpak tinggi berteraskan ekonomi digital,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada usahawan belia desa yang berminat agar mengemukakan permohonan penyertaan secara atas talian di laman rasmi www.rbc2u.com. – TVS