Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemerintah United Kingdom (UK) Raja Charles III dan Ratu Camilla menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena pengisytiharan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 Malaysia. Foto fail AFP

Raja Charles III zahir ucapan tahniah kepada Agong baharu Malaysia

ByBernama

KUALA LUMPUR, 1 Feb: Pemerintah United Kingdom (UK) Raja Charles III dan Ratu Camilla menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena pengisytiharan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 Malaysia.

“Ratu beta turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah pada hari Tuanku memulakan pemerintahan di Malaysia,” titah baginda dalam hantaran Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur di X hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu Malaysia dalam upacara yang penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang selepas tempoh pemerintahan baginda selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berakhir pada 30 Jan.

Raja Charles turut menzahirkan harapan untuk menjalin kerjasama dengan Sultan Ibrahim bagi memastikan agar hubungan antara Malaysia dan UK kekal utuh serta menangani isu yang mempunyai kepentingan bersama.

“Secara khusus, beta berharap kita akan terus menjalin kerjasama bagi menangani perubahan iklim dan mempertingkat kelestarian alam sekitar kerana ini adalah isu global yang memberi kesan kepada hidup kita pada masa akan datang,” titah baginda.

Raja Charles turut bertitah baginda masih ingat akan kunjungan ke Malaysia pada 2017 dan berharap dapat mengulanginya pada masa depan untuk meraikan hubungan rapat kedua-dua negara.

Pada 2017, Raja Charles yang ketika itu adalah Putera Wales serta Ratu Camilla telah berkenan berkunjung ke negara ini sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik UK dan Malaysia.

Sepanjang lawatan tujuh hari itu, pasangan diraja berkenaan berkenan melawat beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang serta mengambil bahagian dalam pelbagai acara penting. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan