KUCHING, 1 Feb: Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor optimis melahirkan lebih ramai jurutera reka bentuk cip di negeri ini menerusi program latihan peningkatan kemahiran semula graduan yang dijadualkan bermula Mac ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Jamil, program enam bulan itu merupakan kesinambungan daripada program ‘Train The Trainer: Talent Development in Semiconductors and Chip Design’ yang diadakan selama empat minggu yang berakhir hari ini.
Shariman menjelaskan, program itu akan memastikan pelajar dan graduan dibimbing secara profesional semasa latihan dengan modul yang dilatih didorong oleh permintaan dan keperluan industri.
“Setelah tamatnya program itu, graduan akan berpeluang diserap bekerja di sektor pekerjaan bernilai tinggi dalam semikonduktor dan reka bentuk IC, yang bermaksud penempatan pekerjaan yang terjamin.
“Saya menggesa semua graduan dalam auditorium ini mempertimbangkan untuk mendaftar dalam program peningkatan kemahiran SMD selepas tamat pengajian tahun ini, kohort kedua dijadual bermula pada akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui TVS pada Majlis Penutupan ‘Train The Trainer: Talent Development in Semiconductors and Chip Design’ di sini, hari ini
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry.
Mengulas lanjut, Shariman berkata, peserta yang berjaya menamatkan kursus Train The Trainer itu akan diberi kepercayaan untuk membimbing seramai 20 peserta yang layak untuk menyertai program itu nanti.
Program Train The Trainer melibatkan seramai 20 profesional, pensyarah dan profesor dari institusi latihan dan universiti, industri dan jurutera SMD dengan merekodkan kehadiran melebihi 90 peratus sepanjang kelas empat minggu berlangsung.
Terdahulu, majlis turut menyaksikan acara pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) membabitkan SMD dengan syarikat reka bentuk cip frekuensi radio berpangkalan di London, Riverbeck Ltd bagi membangunkan cip frekuensi radio baharu.
Manakala, satu lagi MoU membabitkan SMD dengan Big Innovation Centre UK bagi kerjasama membangunkan pendekatan kelestarian holistik dan ekonomi pekeliling untuk industri semikonduktor. – TVS