KUCHING, 1 Feb: Pelan Bersih, Cantik, Selamat, Pintar dan Mampan (CBSSS) bermatlamat menjadikan Kuching sebagai bandar raya lestari dan maju menjelang 2030.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata CBSSS menggariskan strategi, pelan tindakan dan indikator prestasi utama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam mencapai matlamat berkenaan.
“Pelaksanaan CBSSS ini merupakan satu inisiatif yang mengagumkan kerana ia memberi fokus kepada penglibatan komuniti,” katanya pada Majlis Perhimpunan Khas DBKU di sini, hari ini.
Menurutnya, CBSSS juga adalah sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 bagi memastikan Sarawak menjadi tempat terbaik bagi membina kehidupan.
CBSSS memberi penekanan terhadap penglibatan komuniti agar impak pembangunannya dapat dirasai oleh seluruh warga Kuching selain memupuk semangat kekitaan dan tanggungjawab di kalangan masyarakat.
Dr Abdul Rahman turut meyeru agar semua warga kerja DBKU berganding bahu mempergiatkan agenda transformasi digital dalam sektor awam ia bagi merealisasikan visi Perkhidmatan Awam Sarawak bertaraf dunia.
“Saya ingin menyeru kepada seluruh warga kerja DBKU agar terus sentiasa berganding bahu untuk merealisasikan visi Perkhidmatan Awam Sarawak bertaraf dunia,” katanya.