KUCHING, 1 Feb: Dura Technology Sdn Bhd berhasrat membawa teknologi konkrit hijau ke Sarawak sejajar dengan usaha kerajaan negeri melestarikan alam sekitar.
Pengarah Urusan Dura Technology (Sarawak) Sdn Bhd, Syahrir Iman Suib berkata kelebihan teknologi itu diutarakan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerusi kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Menjelaskan lagi, Syahrir berkata selain aspek kelestarian, teknologi ini menjimatkan masa, kos dan menggunakan kurang tenaga manusia dalam pembinaan infrastruktur.
“Teknologi UHPC (konkrit berprestasi tinggi ultra) kami juga sama penting dalam menggalakkan kelestarian alam sekitar dan merupakan produk hijau yang diperakui,” katanya.
Turut serta ialah Pengasas dan Pengarah Dura Technology (Sarawak) Sdn Bhd Profesor Dr Voo Yen Lei. – TVS