KUCHING, 31 Jan: Graduan bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) merupakan barisan hadapan dalam melahirkan anak Sarawak yang memiliki pendidikan berkualiti, kata Menteri Pembangunan Wanita,Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Sehubungan itu, beliau menekankan para graduan yang bakal menjadi warga pendidik perlu melengkapkan diri dengan kemahiran serta bersedia daripada segi psikologi bagi memudahkan mereka menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21 dan situasi wabak sedia ada.
“Graduan dalam lulusan Pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam melahirkan kelompok masyarakat yang prihatin, berkebolehan dan bertanggungjawab pada masa hadapan.
“Jadi inilah seorang pendidik yang boleh kita katakan guru yang berkualiti.
“Mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup luas, berkemahiran dan mempunyai sikap yang baik dan mempunyai semangat dari segi kefahaman yang mendalam tentang pentingnya pendidikan awal kanak-kanak,” katanya pada Majlis Konvokesyen Kolej SIDMA Sarawak ke-8 di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Kuching pada Rabu.
Dalam pada itu, Fatimah berkata Kerajaan Sarawak optimis memperkasa dan memantau perkembangan profesionalisme pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini sebagai usaha meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pengamal dan pengendali dalam bidang berkenaan.
“Kalau dahulu orang menganggap atau memandang rendah terhadap subjek pendidikan awal kanak-kanak…sekarang tidak lagi.
“Sekarang disetiap pelosok dunia, semua orang tahu bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah amat penting sama pentingnya dengan pengajian diperingkat universiti,” katanya.
Dalam perkembangan laim Fatimah mengumumkan kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri dalam usaha membanteras isu pemerdagangan manusia.
Kerjasama itu menurut Fatimah membolehkan maklumat terkini disalurkan secara pantas kepada pihak yang terlibat.
“Bila berlaku perkara seperti ini kita perlu bersama dengan pihak Kedutaan dan beliau mendapat maklumat daripada Kedutaan daripada Filipina dan itu cara kita bekerja,” katanya.
Selain itu, Fatimah turut tertarik dengan usaha pihak Kementerian Luar Negeri dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat melalui kempen isu terbabit.
Fatimah berpendapat bahawa masyarakat perlu diberikan pendedahan berkenaan isu tersebut agar tiada lagi rakyat menjadi mangsa modus operandi tersebut.
“Saya tertarik dengan apa yang dikatakan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan juga para belia tentang skrip Macou Scam ini keranan kita mahu rakyat kita sedar,” jelasnya. -TVS