KUCHING, 30 Jan: Program derma darah yang dilaksanakan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bertujuan untuk menampung simpanan bekalan darah di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Pengarah UNIFOR, Datu Jack Aman Luat berkata, program itu juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya.
Katanya, pada hari ini program berkenaan berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Plaza Merdeka.
“Sehubungan itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk Tabung Darah Hospital Umum Sarawak dan UKAS selain orang ramai yang menderma darah,” katanya kepada pemberita selepas hadir program itu di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Pengarah UKAS, Samuel Simon.
Sementara itu, Pegawai Perubatan HUS, Dr.Lu Siew Ling berkata, bekalan darah di hospital Sarawak kini mencukupi namun pihaknya masih memerlukan kerjasama orang ramai untuk terus tampil menderma darah.
“Ini kerana hospital memerlukan sekitar 70 hingga 75 beg darah setiap hari dengan setiap beg-beg darah berkenaan mempunyai tarikh luput sendiri.
“(Oleh itu) Bank Darah di Hospital Umum Sarawak amat mengalu-alukan kehadiran penderma secara walk in dari Isnin hingga Jumaat,” katanya.