KUCHING, 30 Jan: Sarawak Energy Berhad (SEB) akan memastikan mendapat persetujuan pemimpin setempat sebelum melaksanakan pembinaan empangan hidro melata di kawasan luar bandar.
Sehubungan itu Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, tiada paksaan untuk melaksanakan projek berkenaan.
Kata Julaihi, pihaknya maklum mengenai bantahan segelintir penduduk namun perkara itu tidak seharusnya menenggelamkan suara majoriti yang inginkan projek berkenaan dilaksanakan di kawasan mereka.
“Sebenarnya kerajaan telah menerima tiga permintaan termasuk daripada pemimpin setempat untuk membangun projek empangan melata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di sini, hari ini.
Sebelum ini difahamkan beberapa individu di Sungai Tutoh dan Baram membantah perlaksanaan projek berkenaan di kawasan mereka.
Mengulas lanjut, Julaihi berkata Kerajaan Sarawak sangat prihatin untuk melaksanakan projek pembangunan yang memanfaatkan golongan majoriti.
Terdahulu, Kerajaan Sarawak memaklumkan projek empangan melata yang pertama akan dimulakan di Sungai Gaat di Kapit, Sungai Tutoh di Baram dan Sungai Belaga di Belaga. – TVS