KUCHING, 30 Jan: Kerajaan negeri Sarawak yang diwakili Jabatan Hutan Sarawak (FDS) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Institut Kajian Alam Sekitar Kebangsaan (NIES), Jepun.
FDS dalam satu kenyataan hari ini berkata MoA itu ditandatangani semasa simposium bertajuk ‘Penyelidikan Kerjasama Dua Hala Ke Arah Pengurusan Hutan Lestari (SFM) di Sarawak’ yang berlangsung di sini.
Ia berkata MoA itu dilakukan oleh kerajaan Sarawak sebagai rakan sejawat untuk mengawal selia aktiviti-aktiviti penyelidikan dan obligasi oleh pihak-pihak bagi tujuan perkhidmatan perundingan mengenai Pemodelan Isipadu Hutan Menggunakan Metrik Terbitan UAV dan Plot Sampel Kekal.
“Kerjasama di antara Jabatan Hutan Sarawak dan NIES, Jepun ini telah mencipta lembaran sejarah bagi negeri ini. Kerjasama ini diharap dapat memberi manfaat kepada Sarawak khususnya bagi sektor perhutanan dan alam sekitar,” kata Pengarah FDS, Datuk Hamden Mohammad dalam kenyataan itu.
Sebanyak sembilan kertas kerja telah dibentangkan oleh penyelidik dari NIES serta dari FDS dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Semua kertas kerja yang dibentangkan adalah penting dalam memperoleh data saintifik dan maklumat berasaskan saintifik untuk menyokong kerajaan Sarawak dalam membuat keputusan dan dasar, terutamanya sebagai manifestasi sokongan kepada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk alam sekitar yang mampan. -TVS