KUCHING, 30 Jan: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) diminta mengambil langkah proaktif bagi memastikan tidak berlaku kekurangan gas petroleum cecair (LPG) terutamanya di kawasan pedalaman.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, ini susulan PETROS kini merupakan pengedar tunggal mulai 1 Disember 2023 untuk pemasaran LPG bersubsidi.
Kata beliau, sebelum mendapat hak berkenaan, Kerajaan Sarawak telah melalui pelbagai cabaran semasa termasuklah mengambil tindakan undang-undang.
“Satu lagi (melibatkan) Rang Undang- Undang Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 yang menyaksikan PETROS dilantik sebagai pengagregat gas di Sarawak bermula 1 Februari 2024.
“Oleh yang demikian, PETROS sebagai pengagregat gas perlu merangka hala tuju dan strategi yang berkesan untuk perolehan, pengagihan serta pembekalan gas asli untuk meningkatkan penggunaan gas asli tempatan ke tahap sasaran yang ditetapkan selaras dengan Sarawak Gas Roadmap (SGR),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di sini hari ini.
Sementara itu, Julaihi menambah PETROS harus memberi tumpuan untuk memastikan pembangunan rangkaian infrastruktur pengedaran gas seperti saluran paip gas utama dan virtual pipeline di seluruh Sarawak mengikut jadual pelaksanaan seperti ditetapkan bawah Sarawak Gas Roadmap.
“Perkara ini harus dilihat sebagai satu usaha dalam mengelakkan penyalahgunaan serta komited dalam memastikan bekalan berterusan silinder LPG 14 kilogram bersubsidi di seluruh Sarawak,” katanya. – TVS