KOTA SAMARAHAN, 30 Jan: Marathon Poco-Poco sempena program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di pekarangan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dijangka akan memecah Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila disertai lebih 3,000 peserta pada 3 Februari ini.
Menurut Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos, pihaknya telah ditugaskan dan bertekad tinggi untuk menempatkan acara itu di dalam MBOR dengan menerima sumbangan sebanyak RM30,000 bagi tujuan perlaksanaan program tersebut yang akan diadakan mulai jam 7.30 pagi.
“MPKS telah ditugaskan untuk menganjurkan poco-poco ini dan kita boleh mendapatkan 3,000 peserta bagi menyertainya untuk memecah MBOR,” katanya ketika mengadakan sidang media di MPKS di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut Pengerusi Penganjur Poco-Poco Marathon 2024, Kaunselor Dr. Florince Christy, aktiviti itu adalah satu usaha untuk mempromosikan gaya hidup sihat yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Melalui program ini, ia juga menunjukkan kerjasama antara sektor awam, perusahaan swasta dan organisasi bukan kerajaan dalam penyertaan itu, penyertaan untuk program ini telah mencecah 3,200 peserta setakat hari ini.
Terdahulu, rekod tarian poco-poco di Malaysia sebelum ini hanya mencatat penyertaan seramai 2,150 orang sahaja. -TVS