MUKAH, 29 Jan: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar mencari umbut di hutan berhampiran Rumah Bonnie di Jalan Balingian di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa, Jambai Tuba, 70, dilaporkan keluar dari rumah panjang kira-kira jam 11 pagi sebelum masuk ke dalam hutan bersama tujuh lagi orang penduduk.
Namun katanya, kira-kira tiga jam kemudiannya kesemua rakan mangsa dilaporkan kembali ke rumah panjang.
“Difahamkan, ketika berada di dalam hutan itu, rakan-rakannya yang menyedari kehilangan mangsa cuba mencarinya namun tidak berjaya. Mereka kemudiannya pulang ke rumah panjang untuk mendapatkan bantuan.
“Susulan itu, penduduk Rumah Bonnie yang dibantu Rumah Ngumbang turut membantu melakukan pencarian tetapi gagal sehingga anggota keluarga lelaki itu tampil membuat laporan polis pada jam 9.34 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhamad Rizal, ketika masuk ke dalam hutan itu, mangsa dilaporkan berbaju lengan panjang, seluar panjang warna hitam dan berkasut getah hitam.
Berikutan itu katanya, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan bersama sembilan pegawai dan anggota beberapa agensi terlibat termasuk Bomba dan Penyelamat Mukah dan Pertahanan Awam (APM) Mukah. – TVS