Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Kuching, hari ini. Foto Jabatan Penerangan

Tun Dr Wan Junaidi mengangkat sumpah sebagai TYT Sarawak kelapan

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 29 Jan: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Istiadat mengangkat sumpah bermula 4 petang yang dimulakan dengan pendaftar istiadat menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk mendapatkan perkenan memulakan istiadat.

Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Bertempat di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, majlis disusuli dengan Premier Sarawak membaca Surat Cara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Wan Junaidi yang dilantik mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028 itu kemudian mengangkat sumpah jawatan.

Selepas mengangkat sumpah, beliau menandatangani surat angkat sumpah pelantikan dan surat pengisytiharan disaksikan oleh Premier Sarawak dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Wan Junaidi menerima Surat Cara Pelantikan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 26 Januari lepas. Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran ‘Tun’ kepada Wan Junaidi pada majlis yang sama.

Berusia 78 tahun, beliau merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan selepas Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Usai Istiadat Angkat Sumpah, beliau meluangkan masa menghadiri majlis jamuan di Auditorium DUN Sarawak bersama hadirin yang hadir.

Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selesai memeriksa kawalan kehormatan utama. Foto Alex Teo (TVS)

Terdahulu, Wan Junaidi melakukan Pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama di pekarangan bangunan DUN pada 3 petang.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama daripada PGA Batalion 11 dan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selepas lagu Ibu Pertiwiku dimainkan, Wan Junaidi memeriksa kawalan kehormatan utama dengan diiringi pegawai pemerintah perbarisan.

Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan